Buat Akhawat Bergelar Ibu

                                                    Tiada dalam gambar, Aku.

Saat mereka tidur awal, sebagai persiapan ke program esok,
kita masih berjaga mengemas beg dan pakaian yang tiada sudahnya
kita masih berjaga menjaga Si Kecil yang kembung perutnya.

Saat mereka berjaga awal ber-qiyamullail,
Kita sudah lama berjaga tapi untuk menyiapkan segala kelengkapan
yang tiada akhirnya.
Kita sudah lama bersengkang mata tapi untuk melayani kerenah Si Kecil
yang tak kira masanya.

Saat tiba masa berkumpul,
mereka sudah tiba bersama tenaga dan semangat membara.
Kita juga tiba, bersama sisa tenaga dan anak-anak yang dibawa bersama.

Saat tiba masa aktiviti program fizikal, mental, dan rohani,
mereka mengerah keringat segala apa yang ada,
untuk melalui satu lagi proses penambahbaikan, yang telah disusun rapi.
Kita juga megerah keringat segala apa yang ada,
di lokasi yang sama,
tetapi untuk memastikan anak-anak elok bermain,
sambil Si Ibu berusaha mencuri setitis ilmu,
sebagai bekalan untuk dibawa pulang, hasil masa yang dilaburkan bersama mereka.

Saat tiba masa berbincang tentang isu dan solusi,
mereka hadir bersama idea dan jiwa yang besar.
Kita juga hadir tetapi bersama Si Kecil
yang masih meragam kerana bergaduh sesama beradik.
Kita juga tampil tetapi bersama emosi
yang masih beralun dek memikirkan makanan di rumah cukupkah untuk semua orang?

Kita juga pernah tidur awal, sebagai persiapan ke program esok,
kita juga pernah ber-qiyamullail sebagai penambah tenaga untuk aktiviti esok,
kita juga pernah hadir, bersama tenaga dan semangat membara,
kita juga pernah mengerah keringat segala apa yang ada,
 untuk melalui satu lagi proses penambahbaikan, yang telah disusun rapi,
dan,
kita juga pernah hadir ke tempat diskusi bersama idea dan jiwa yang besar.

Namun kini, Tuhan telah menyusun sebuah jalan yang baru,
untuk kita lalui bersama azam, semangat, dan tenaga yang jitu,
untuk kita tempuhi sambil bahu ini berat memikul tanggungjawab yang lebih dari satu,
untuk kita alami, manisnya usia ini dicurahkan ke arah pembinaan insan-insan Rabbani,
bukan sahaja untuk mereka saudara seagama, tetapi untuk Si Kecil, anak-anakmu sendiri.

Hadir saja ke program dan majlis ilmu,
sekalipun malam tadi, tidur tidak bersamamu,
sekalipun pagi tadi habis tenaga memasak, memandi dan menguruskan rumah tanggamu,

Hadir saja ke program dan majlis ilmu,
sekalipun kau tahu, beg akan dipenuhi lampin, susu, dan mainan anak-anakmu
sekalipun kau tahu, takkan sempat mencatat ilmu
sekalipun kau tahu, buku nota itu hanya ada Nama Program dan Tarikh hari itu,
sekalipun kau tahu, akan lenguh pinggangmu kerana mengawasi anak-anak itu,
sekalupun kau tahu, akan terduduk lesu saat kau pulang dari program itu,

kerana usaha dan tenaga yang Allah lihat,
kerana keberkatan majlis ilmu yang kau perlu kejarkan,
kerana suasana itu yang anak-anakmu perlukan,
kerana semangat bersama mereka itu yang kau butuhkan.

Aku percaya,
mereka memahani,
mereka mengerti,
mereka mendoakan,
mereka membantu,
mereka tafahhum,
akan kondisimu.

qiyamullail: berjaga malam
tafahhum: memahami

Subscribe to Newsletter

Be notified of any new blog post.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll Up